Monday, 14 November 2011

Merawat Anak yang Suka Memberontak (Part 2)

*sambungan bhg. 1

3) Bagaimana Teknik Mengajar Anak Yang Memberontak?



Teknik-teknik yang boleh diambil oleh IBU BAPA ialah : 

a) Luangkan Masa untuk Berbual Mesra
Anak tetap anak. Fitrah anak mahu bermanja-manja. Barangkali anak-anak terlalu nakal menyebabkan hati ibu bapa serta ahli keluarga lain menjadi panas sentiasa apabila memandang anak tersebut. Awas, itu permainan syaitan. Syaitan segaja mengapi-apikan kita supaya marah berubah benci. Apabila hati sudah benci, hilanglah saki baki kasih sayang. Mulalah apa sahaja yang dibuat oleh si anak menjadi buruk di pandangan mata kita. Beristigfarlah dan duduk di sisi anak untuk berbual mesra tentang hal-hal seharian yang lucu atau menghiburkan. Lakukanlah begini banyak kali. Jangan hanya ikut angin atau mood, nanti anak terasa kita cuba bermuka-muka dengannya. Melalui berbual ini, banyak masalah dapat diselesaikan. Mengapa? Kerana selalunya punca masalah dapat dikorek. Jika bernasib baik, nasihat-nasihat kita lebih mudah diterima ketika ini. Maka rajin-rajinlah bermesra dengan mereka.


b) Keluarkan Mereka dari Zon Selesa.
Berdasarkan pengalaman saya, kemajuan akademik anak-anak lebih cepat dilihat apabila mereka datang sendiri ke tempat belajar yang bukan rumah mereka. Ini disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor pertama ialah ancaman zon selesa apabila berada di rumah. Anak-anak yang dibawa keluar dari zon selesa semasa keluar dari rumah secara automatik telah menyediakan mental dan fizikalnya untuk menuntut ilmu. Ini sangat membantu dari segi penerimaan ilmu kerana anak-anak ini hadir dalam keadaan mindanya sudah bersedia untuk menerima ilmu yang disampaikan. Suasana belajar memainkan peranan yang amat penting dalam mempengaruhi emosi sewaktu belajar.


c) Dapatkan Personal Coach 
Kelas ini melibatkan seorang pelajar dan seorang guru sahaja.Tujuan kelas ini diadakan untuk membolehkan guru memberi fokus yang maksimum kepada pelajar. Pelajar akan dibimbing dengan pelbagai kaedah yang dirasakan sesuai mengikut kemampuan pelajar. Awas, ibu bapa perlu berhati-hati dalam pemilihan guru kerana terdapat kes-kes penderaan seksual yang melibatkan guru dan pelajar. Ibu bapa perlu memeriksa latar belakang guru sebelum memberikan kepercayaan kepada guru.



Teknik-teknik yang boleh diambil oleh guru/tutor ialah :

a) Dekatkan Diri Kepada Allah
Mendidik manusia sememangnya mencabar kerana manusia itu bukannya robot. Sebagai seorang guru, kita perlu sentiasa ada tautan hati dengan Allah kerana hanya Allah yang memegang hati manusia. Sekiranya Allah berkehendak supaya anak-anak itu mudah dibimbing dan mudah memahami apa yang disampaikan, guru akan menjadi mudah mengajar anak-anak itu...Begitulah juga sebaliknya. Jadi, pada pandangan saya, guru perlu bersihkan hati dan banyakkan berdoa kepada Allah supaya dipermudahkan urusan dalam menyampaikan ilmu kepada anak-anak muridnya. Bersihkan hati, senyum selalu dan jaga akhlak.. Inshaallah akan terasa ringan berhadapan dengan kerenah anak-anak itu..

b) Mulakan Kelas dengan Doa dan Kata-Kata Motivasi
Ceritakan kisah pendek atau berkongsi pengalaman anda tentang bagaimana hendak mengatasi malas, jemu dan mengantuk. Berkongsilah kisah bagaimana anda pernah gagal dan berjaya dalam hidup. Berkongsilah kata-kata hikmah dan huraikan kepada anak-anak. Berkongsilah tips-tips bagaimana hendak mengatasi masalah krisis dengan ibu bapa dan kawan-kawan. Anak-anak sangat sukakan perkongsian seperti ini. Adakalanya mereka sangat berminat terhadap pengisian 15 minit ini melebihi kelas yang 1jam itu. Saya sendiri dapat merasakan perbezaan menghadapi kelas yang dimulakan dengan sesi motivasi dan kelas yang terus dimulakan dengan pelajaran. Untuk memudahkan kita mengajar, kita perlulah memotivasikan anak-anak ini dahulu. Enjin kena kasi panas beb! :)

c) Jangan Buat Mereka Benci
Jangan buat sehingga anda dibenci. Jika anda berasa marah, beristigfarlah dan tersenyumlah. Berpesanlah kepada diri "Anak-anak ini  inshaallah akan menjadi manusia yang hebat suatu hari nanti. Jadi aku perlu bersabar. Ya Allah, bantulah aku untuk bersabar." Inshaallah kita akan dapat bersabar. Jangan memarahi mereka ketika anda sedang marah sebaliknya marahlah mereka apabila ternyata mereka berbuat salah. Adakalanya kita perlu berlakon marah sekadarnya untuk memberi pengajaran kepada murid. Apa yang penting ialah mereka perlu tahu bahawa kita marah hanyalah kerana kita menyayangi mereka supaya mereka tidak membenci kita.




Sumber : http://coretanfisabilillah.blogspot.com/2011/11/merawat-anak-yang-suka-memberontak-part_12.html




No comments:

Post a Comment